KOTA KINABALU, SABAH – Usaha menaik taraf Vessel Traffic Monitoring System (VTMS) akan diperluaskan ke kawasan had-had pelabuhan Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Sipitang mulai tahun ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury berkata kementeriannya melalui Jabatan Pelabuhan dan Dermaga (JPDS) komited melaksanakan usaha tersebut disasarkan selesai sepenuhnya pada pertengahan tempoh Rancangan Malaysia Ke-13.
Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam mengawal trafik perkapalan di pelabuhan-pelabuhan di Sabah, sekali gus mengelakkan insiden kemalangan maritim di negeri ini.
“Selaku jabatan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia kawalan lalu lintas air dalam kawasan had-had pelabuhan di Sabah, JPDS melaksanakan kerja-kerja penggantian dan menaik taraf sistem pemonitoran trafik perkapalan VTMS sedia ada di seluruh kawasan had pelabuhan-pelabuhan di Sabah secara berperingkat.
“Usaha ini telah dimulakan pada Disember 2023 di Menara Kawalan Kota Kinabalu dengan menaik taraf kemudahan sistem VTMS yang baharu yang mana sistem tersebut adalah berasaskan perisian Kongsberg Norcontrol yang memenuhi piawaian VTMS dengan integrasi Automatic Identification System (AIS) tempatan dan sistem sokongan dalam pengurusan trafik.
“Penggunaan sistem ini didapati lebih cekap dan efisien serta amat bersesuaian untuk tujuan pemantauan trafik perkapalan,” dedah beliau.
Mengulas lanjut ujar Limus, JPDS juga meningkatkan kemahiran dan kecekapan petugas-petugas JPDS yang mengendalikan sistem VTMS yang baharu melalui sesi-sesi latihan dan kursus yang berterusan.
Selain itu katanya, pihaknya turut menekankan budaya penyelenggaraan ke atas alat-alat bantuan pelayaran seperti bikon dan boya agar dapat terus berfungsi dengan baik dan memastikan keselamatan pelayaran dalam kawasan had-had pelabuhan di seluruh Sabah tidak terjejas.
Limus memaklumkan, jabatan terbabit turut menyusun atur semula kawasan-kawasan labuhan di perairan had-had pelabuhan dengan menyediakan laluan trafik yang lebih sistematik supaya lebih selamat serta dapat memastikan penyampaian perkhidmatan pelabuhan yang lebih efisien.
Tambah beliau, sesi libat urus secara berperingkat bersama dengan malim-malim berlesen untuk membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta kemahiran terkini ke arah pelaksanaan tatacara pengendalian pengendalian perkhidmatan pemaliman berdasarkan amalan terbaik (best practice) pada masa kini.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam serentak dengan soalan daripada ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof @ Josree Yacob kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Untuk Jawapan Lisan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas, hari ini.
Ketika menjawab soalan tambahan daripada Yusof, Limus memaklumkan berdasarkan statistik kemalangan kapal dagang bagi tahun 2022 hingga 2024, dua insiden telah direkodkan di Pelabuhan Kota Kinabalu masing-masing melibatkan kes kekandasan kapal Masersk Hai Phong pada 25 Februari 2023 dan kes pelanggaran kapal MT Heaven & MV Green Pacific pada 5 Oktober lalu.
Sementara itu, Pelabuhan Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Semporna, Kudat, Kimanis dan Sipitang tiada kes kemalangan direkodkan.
Kata beliau, kementeriannya juga mengambil maklum berhubung cadangan Yusof bagi mewujudkan pasukan penyelamat bagi menangani kes-kes kemalangan di kawasan pelabuhan seluruh Sabah.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima yang masuk hari ketiga hari ini menyaksikan 12 soalan dengan sembilan ADUN sempat menjawab soalan dalam Sesi Pertanyaan-pertanyaan Untuk Jawapan Lisan. — JABATAN PENERANGAN SABAH