Advertisement

Status Kemajuan Penyelarasan, Pelaksanaan Pelaburan Di Sabah Berada Pada Landasan Positif

Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan

KOTA KINABALU: Status kemajuan penyelarasan dan pelaksanaan pelaburan di negeri ini adalah pada landasan yang positif melalui beberapa key milestone yang telah dicapai kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.

Phoong menyenaraikan tujuh pelaksanaan pelaburan yang sedang diselaraskan termasuk kilang pembuatan green steel dan jeti persendirian di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), iaitu Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Fasa 1) bernilai RM19.8 bilion dan dijangka akan beroperasi pada suku ketiga tahun 2027. 

“Kedua, kilang copper granulation, iaitu Curix Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM300 juta dan dijangka akan beroperasi pada suku keempat tahun 2025. 

“Seterusnya, pemprosesan gas Asli Cecair (LNG), iaitu PFLNG 3 Sdn Bhd (Petronas ZLNG) di SOGIP dan dijangka akan beroperasi pada suku kedua tahun 2027.

“Keempat, pusat pengurusan sisa sehenti, iaitu Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd juga di SOGIP dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM70 juta dan dijangka beroperasi pada suku kedua tahun 2027,” jelasnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Phoong berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Pantai Manis, Mohd Tamin @ Tamin Zainal yang bertanya mengenai status pelaburan di negeri Sabah yang terkini dan kejayaannya.

Phoong yang juga ADUN Luyang berkata, pelaburan seterusnya ialah, hab pengurusan sisa, iaitu E Concern (Borneo) Sdn Bhd di SOGIP dengan nilai anggaran pelaburan sebanyak RM200 juta dan dijangka beroperasi pada suku kedua tahun 2027.

“Keenam, kilang pembuatan kaca solar (third production line) di KKIP, iaitu Kumpulan Kibing dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM700 juta dan dijangka beroperasi pada suku keempat tahun 2025.

“Terakhir, juga kilang pembuatan kaca solar di Kimanis dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM7.21 bilion dan dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun 2026,” katanya.

Phoong turut memaklumkan bahawa kementeriannya bersama agensi yang berkepentingan sentiasa komited untuk menyelaras dan mempercepatkan pelaksanaan pelaburan di negeri ini. 

“Agar ianya dapat direalisasikan sekali gus memacu pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.