KOTA KINABALU: Koperasi di negara ini memiliki potensi besar untuk berkembang dengan pesat melalui adaptasi teknologi Artificial Intelligence/Kecerdasan Buatan (AI).
Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Basari Sarkun berkata, dengan AI, koperasi boleh memanfaatkan data yang ada untuk memahami keperluan ahli dan pasaran dengan lebih mendalam.
“Sebagai contoh, AI boleh membantu koperasi dalam meramalkan permintaan produk, mengoptimumkan rantaian bekalan, meningkatkan keberkesanan pemasaran, dan menambah baik perkhidmatan pelanggan.
“Bayangkan jika semua 1,798 buah koperasi di negeri Sabah ini setakat 31 Disember 2023 mengadaptasi teknologi AI, ia bakal melibatkan seramai 369,619 orang anggota.
“Juga tidak mustahil akan dapat mengembangkan lagi potensi kekuatan RM79.89 juta syer, RM176.18 juta yuran, RM945.48 juta aset dan RM677.82 juta perolehan yang telah dicapai oleh koperasi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Transformasi Perniagaan Koperasi melalui Adaptasi Kecerdasan Buatan (AI) di sini pada Khamis.
Sementara itu, Basari berkata, perludisedari bahawa adaptasi teknologi ini memerlukan pemahaman yang mendalam serta bimbingan yang betul.
“Oleh itu, peranan program seperti seminar ini amat penting, sebagai satu usaha menyuntik kefahaman asas tentang (AI), serta bagaimana ia dapat disesuaikan dengan objektif dan operasi koperasi.
“Melalui pendekatan yang strategik, koperasi bukan sahaja dapat memperluaskan peluang perniagaan, malah mampu memberikan perkhidmatan yang lebih efektif kepada ahli.
“Saya difahamkan salah satu sesi pembentangan hari ini melibatkan perkongsian pengalaman oleh wakil dari Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) dalam aspek aplikasi AI dalam perniagaan mereka.
“Saya berharap pengalaman dan kisah kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada semua warga koperator di negeri Sabah ini.
Tambah beliau, semua pihak harus sama-sama bangkit dan mengikuti perkembangan arus perdana baik dari segala aspek pengetahuan mahupun pekembangan teknologi.