Advertisement

KUSKOP Laksana Empat Program Utama Pembangunan Keusahawanan Halal

Ewon
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan empat program utama pembangunan keusahawanan halal di negara ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara program itu ialah Pembangunan Kapasiti Produk Halal, Program Inovasi dan Teknologi Halal, Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal dan Program Pembangunan Kapasiti Ushawan Industri Halal.

Beliau berkata, sebanyak RM2 juta peruntukan disediakan untuk Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal, Program Inovasi dan Teknologi Halal pula sebanyak RM5 juta, Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal sebanyak RM5 juta dan Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal disediakan peruntukan berjumlah RM1 juta.

“Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal bertujuan membantu usahawan yang memiliki pensijilan halal meningkatkan produk dan perkhidmatan halal daripada aspek penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan.

“Melalui program ini, dijangka 65 usahawan akan menerima bantuan geran pembiayaan bernilai sehingga RM30,000 bagi menampug kos pembangunan jenama produk, penyediaan prototaip dan menaiktaraf rekabentuk pembungkusan dan pelabelan setiap produk usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat-PN)

Ewon berkata bagi Program Inovasi dan Teknologi Halal pula sebanyak RM5 juta peruntukan disediakan bagi membantu usahawan yang memiliki pensijilan halal meningkatkan keberhasilan produk dan perkhidmatan berteraskan inovasi dan teknologi.

“Program ini dijangka akan memberi manfaat seramai 25 orang dengan geran pembiayaan sehingga RM200,000 bagi setiap usahawan,” katanya.

Beliau berkata, Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal, sebanyak RM5 juta peruntukan disediakan bagi menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran antarabangsa.

“Melalui program ini seramai 200 usahawan dijangka akan dibantu dengan membiayai kos penyertaan usahawan dalam pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa,” katanya.

Progam Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dengan peruntukan berjumlah RM1 juta pada tahun 2024 bertujuan menyediakan bantuan pematuhan pensijilan halal kepada usahawan./

Di bawah program ini, usahawan yang layak akan ditawarkan bantuan geran pembiayaan sehingga RM10,000 bagi9 menampung kos pematuhan syarat pensijilan halal.

Melalui program ini KUSKOP telah menganjurkan beberapa siri Bengkel Kesedaran dan Bimbingan Halal di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sabah dan Pahang dan seramai 445 usahawan telah menerima manfaat daripada penganjuran bengkel ini.

Sehingga 30 September 2024, semua uahawan tersebut telah menerima bantuan geran pembiayaan berjumlah RM615,000.

Di samping itu KUSKOP juga telah mengadakan kerjasama dengan Syarikat Grab Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui program Halal On Track (HOT) serta Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara bagi meningkatkan pemilikan sijil halal dalam kalangan PMKS tempatan.