Advertisement

Lelaki Warga Filipina Bunuh Warga Negara Sendiri Di Beaufort Ditangkap Kurang Dari 24 Jam

BEAUFORT, SABAH – Polis daerah pantas mengesan suspek pembunuh seorang warga Filipina berusia 30 tahun di Kampung Balibata, sini, sehari selepas jenayah yang bermotifkan dendam itu dilakukan.

Ketua Polis Daerah, Supt Wong Leong Ming berkata, mangsa bunuh itu ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam kawasan semak pada petang Rabu.

“Dua kesan luka ditemui di bahagian siku dan lengan kiri serta di belakang leher mangsa yang dipercayai berpunca daripada senjata tajam.

“Op Tutup dan Op Kesan dilancarkan serta-merta membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Beaufort bersama Cawangan Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Suspek lelaki berusia 70-an yang juga merupakan seorang warga Filipina telah ditahan pada 2.30 petang Khamis di Kampung Balibata di mana senjata pembunuhan itu dirampas.

“Ini satu kejayaan besar bagi polis kerana kes pembunuhan itu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.