Advertisement

Perkasa Wanita Muda Pelapis Masa Hadapan – Azizah





Norlidah
Toh Puan Norlidah (duduk tengah) bergambar kenangan bersama Azizah (kiri) serta rombongan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) berhasrat memperkasakan wanita muda sebagai pelapis pembuat keputusan pada masa hadapan.

Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya sedang giat menambah lebih ramai ahli dalam kalangan wanita muda bagi meneruskan kesinambungan usaha persatuan agar dapat terus membantu masyarakat secara keseluruhannya.

“Baru-baru ini Menteri Kewangan memaklumkan kita baru mencapai 26 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam di Sabah.

“Sehubungan itu, PPS akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi dalam menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan lagi kaum wanita.

“Selain itu, kita juga mahu melihat penglibatan kaum wanita dalam bidang perniagaan, sama ada dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) ataupun sampai ke peringkat tinggi seperti menjadi Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), mungkin juga dalam bidang Lembaga Pengarahnya (Board of Directors).

“Kita juga berhasrat untuk membangunkan lebih ramai wanita muda yang boleh memimpin bukan sahaja dalam pimpinan politik tetapi juga sebagai pemimpin dalam kerajaan, pemimpin dalam Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu.

Beliau memaklumkan kunjungan tersebut adalah bagi menjemput Toh Puan Norlidah untuk menghadiri Majlis Menjunjung Kasih yang akan diadakan Sabtu ini.

Hadir sama pada kunjungan itu ialah Timbalan Pengerusi PPS, Annie Lourdes, Bendahari PPS, Norliy Abdullah serta Setiausaha PPS, Mariati Kasiari.

PPS yang diwujudkan sejak 1968 merupakan persatuan wanita tertua di Sabah dan mempunyai keahlian seramai lebih 200 ahli yang masih aktif.

Objektif penubuhannya ialah untuk melatih golongan wanita meningkatkan keupayaan mereka sekaligus membantu golongan wanita khususnya di luar bandar bagi menjana pendapatan dalam pelbagai bidang. — JABATAN PENERANGAN SABAH