BEAUFORT: Seorang lelaki yang dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti ‘Hiking’ di Bukit Bendera Beaufort tengah hari tadi, berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Mangsa, Irwan Sumatra, 39 tahun dilaporkan berjaya keluar di rumah berdekatan pada jarak 100 meter dari pos kawalan masuk Bukit Bendera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari.
“Menurut pemanggil, beliau bersama mangsa melakukan aktiviti ‘Hiking’ pada jam 8 pagi untuk ke puncak.
“Namun, semasa menuruni bukit, pemanggil mendapati mangsa tidak bersamanya dan pemanggil mencari mangsa di setiap laluan hiking dan tidak menemuinya.
“Pemanggil seterusnya melaporkan kes kehilangan tersebut kepada pihak PDRM dan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Seterusnya pasukan BBP Beaufort ke lokasi kejadian bersama anggota PDRM dan melakukan operasi pencarian di kawasan laluan hiking Bukit Bendera.
“Pada jam 4.40 petang, ahli keluarga mangs telah menghubungi PDRM bahawa mangsa berjaya keluar di rumah berdekatan pada jarak 100 meter dari pos kawalan.
“Selepas itu, mangsa menghubungi keluarganya yang kebetulan berada di pos kawalan bersama bomba dan polis.
“Setelah pihak PDRM membuat pengesahan bahawa itu adalah mangsa yang dicari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang,” jelasnya.