TAWAU Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol teman wanitanya yang masih remaja berusia 14 tahun di sebuah kawasan perumahan di Balung, Tawau, 16 November lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek seorang penganggur berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira jam 1.30 di sekitar kawasan Balung, pada Khamis.
Menurutnya, tangkapan dilakukan selepas laporan Polis dibuat oleh ibu mangsa pada rabu lalu kira-kira jam 4.36 petang, selepas mangsa memberitahu ibunya berkenaan kejadian tersebut.
“Hasil siasatan awal, mangsa telah tinggal serumah bersama di rumah suspek yang juga merupakan teman lelaki mangsa sebelum melakukan perbuatan itu,” katanya.
Tambah beliau, suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan rogol.
Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan perbuatan seksual terhadap seorang kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan anak-anak tanpa pengawasan, terutamanya dengan individu yang tidak dikenali atau kurang dipercayai.