Advertisement

Lengan ‘Ditumbuk’ ADUN Merotai, ADUN Kunak Buat Laporan Polis – Sabah News

KUNAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Datuk Norazlinah Arif membuat laporan polis mendakwa dia ditumbuk di bahu kanan oleh ADUN Merotai, Sarifuddin Hata, ketika sedang keluar dari bangunan Dewan Undangan Negeri pada pukul 8 malam Rabu lalu.

Norazlinah dalam sebuah kenyataan di Facebook berkata membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu sebagai rujukan dan untuk perhatian polis.

“Ketika kejadian, saya sedang berjalan sambil bercakap dengan seorang rakan wanita tiba-tiba dia (Sarifuddin) menghampiri dari arah hadapan dan menumbuk bahu saya.

“Dia langsung tidak memandang saya apabila saya memanggilnya. Pada masa itu, saya tertanya-tanya sama ada dia bergurau.

“Saya telah menjalani pemeriksaan hospital dan keputusannya tidak menunjukkan kecederaan serius.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan sebegitu tidak boleh diterima terutamanya daripada seorang ADUN dan terutamanya terhadap seorang wanita.

“Ini juga secara langsung mencalarkan bukan sahaja maruahsaya, tetapi juga maruah keluarga termasuklah suami saya yang melihat isterinya diperlakukan sedemikian melalui rakaman video tersebut,” katanya.

Sarifuddin manakala dalam ruangan komen memberitahu supaya “jangan salah faham, saya dengan YB Datuk Azlinah ini kawan”.

Norazlinah membalas: “Tanpa senyum tanpa tegur. Saya pun sangka kita kawan”. Sarifuddin kemudian berkata: Senyum bah YB Datuk.. cuma saya kelam kabut ada PC (sidang media).. hehehe”.

Sarifuddin kemudian meminta maaf kepada wakil rakyat Parti Gagasan Rakyat Kunak itu kerana bergurau kasar.

Pada laman TikTok, Norazlinah berkata tanpa senyuman selepas ditumbuk, beliau tidak merasainya sebagai sebuah gurauan.

“Badan saya sampai terpusing ke belakang, memang kuat dan sakit,” katanya.

Kejadian tersebut telah tular melalui video 25 saat pada hari kejadian.