ALOR SETAR: Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandunya musnah terbakar di Jalan Latar, Kampung Bukit, Pokok Sena, di sini, hari ini, lapor Sinar Harian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan sebuah kenderaan MPV dipandu lelaki berusia 23 tahun itu pada jam 8.15 pagi.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kenderaan mangsa dipercayai dari arah Pokok Sena menghala ke Kampung Bukit sebelum ia dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terbakar secara tiba-tiba.
“Bagaimanapun, lelaki itu berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.
“Buat masa ini, mangsa tidak sedarkan diri dan masih lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang,” katanya kepada media pada Ahad.
Tambah beliau, siasatan turut mendapati Perodua Alza yang musnah sepenuhnya tersebut adalah milik ibu mangsa.
Sehubungan itu, Syed Basri memaklumkan, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).