Advertisement

RAKYAT MAHU KERAJAAN GRS-PH PLUS TERUS MEMERINTAH

Hajiji
Hajiji sekitar Majlis Penyerahan Borang Keahlian di Dewan Terbuka Kampung Kota, Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat )

TUARAN, SABAH – ⁠Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata ⁠sentimen akar umbi menunjukkan rakyat mahu Kerajaan GRS-PH Plus terus memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ini adalah sentimen rakyat, inilah inspirasi rakyat sekarang ini. Mereka mahu kita terus memerintah, mereka mahu parti tempatan menjadi dominan di dalam pilihan raya akan datang.

“Insyallah, Parti Gagasan Rakyat Sabah, GRS dan juga PH Plus akan terus memerintah selepas pilihan raya akan datang,” kata Hajiji.

Hajiji berucap sempena Majlis Penyerahan Borang Keahlian di Dewan Terbuka Kampung Kota, Tuaran.

Hajiji yang juga wakil rakyat Sulaman berkata memang ada parti tempatan lain seperti Parti Warisan.

“Ya ada Warisan, parti tempatan tetapi mereka hanya pandai bercakap sahaja tidak pandai bekerja. Sejak menjadi Menteri Luar Bandar, jangan cerita Ketua Menteri selama dua tahun setengah, hala tuju pun tidak ada.

“Saya harus perjelaskan ini semua kerana ini hakikatnya mereka tidak pandai mentadbir Sabah. Saya tidak mahu rakyat dibuai dengan pembohongan dan fitnah oleh pemimpin-pemimpin tertentu di Sabah.Cukuplah kita bergaduh-gaduh dalam politik. Itulah sebabnya kita lambat membangun,” katanya.

Hajiji berkata beliau mengambil-alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dalam keadaan yang getir dan semasa itu beliau juga dijangkiti COVID-19.

Namun, dalam masa itu beliau mampu memikirkan cara untuk membangunkan negeri Sabah termasuklah mengwujudkan hala tuju untuk memperkukuhkan ekonomi dan memertabatkan slogan jata negeri Sabah Maju Jaya.

“Saya ambil slogan Sabah Maju Jaya ini untuk kita perkasakan tetapi pemimpin pembangkang pula memperlekehkan dan menghinanya.

“Hakikatnya, hanya semasa Kerajaan GRS-PH Plus tercipta banyak kejayaan dan pencapaian cemerlang. Trek rekod kita amat jelas.

“Kita perkenalkan dasar mesra pelabur. Saya adakan persidangan ekonomi antarabangsa pada tahun 2021 yang disertai lebih 30 buah negara.

“Ini belum pernah terjadi. Dalam masa empat tahun, kita berjaya wujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Mengulas kemasukan beberapa pemimpin akar umbi parti pembangkang ke dalam Gagasan Rakyat, Hajiji yang juga Ketua Bahagian Sulaman mengalu-alukan kehadiran mereka.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan ini adalah satu perkembangan yang cukup baik kerana saya mahu supaya adanya perpaduan di kalangan masyarakat kampung di sekitar ini.

“Dari sana, kita akan dapat menjalinkan rasa silaturahim dan kerjasama yang baik diantara mereka,” tambahnya.

Beliau menerima borang keahlian baharu daripada bekas pemimpin Warisan Tuaran Omar Bawi Zainuddin, Matussin Saidi dan Ahmad Rawi serta Rafi Said daripada Umno Tuaran.

Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karambunai Datuk Arshad Idris, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman Datuk Kassim Razali dan Naib Ketua Bahagian Datuk Johari Saiman.