Advertisement

Sabah Perlu Kukuhkan Usaha Tangani Pencemaran Plastik – Dr Joachim

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menerima cendera mata daripada Dr. Henry Chan.

KOTA KINABALU: Usaha bersepadu diperlukan untuk memperkukuh dan mempertingkatkan undang-undang serta dasar bagi menangani isu pencemaran plastik di Sabah dengan lebih berkesan, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pencemaran plastik yang bukan sahaja menjadi isu global tetapi turut memberi kesan serius di negeri Sabah.

“Isu ini bukan sahaja menjadi perhatian di peringkat antarabangsa, tetapi Sabah juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah yang sama.

“Pencemaran plastik mengancam alam sekitar dan memberi kesan mendalam kepada setiap aspek kehidupan, termasuk kesihatan ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata demikian ketika merasmikan Simposium “No Plastic in Nature” di Hotel Hilton, Kota Kinabalu hari ini.

Simposium itu dianjurkan secara kerjasama oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan WWF-Malaysia, serta disokong oleh Sabah CSO-SDG Alliance.

Dr. Joachim menekankan bahawa Sabah, yang kaya dengan sumber alam semula jadi seperti terumbu karang, pantai, bukit-bukau dan Gunung Kinabalu, kini menghadapi ancaman pencemaran plastik yang menjejaskan keindahan alamnya.

“Banyak kawasan yang dahulunya bersih kini tercemar dengan sisa sampah. Di lautan, plastik terapung dan menyelaputi terumbu karang, manakala pantai serta pulau-pulau kita dipenuhi dengan plastik. Ini bukan sahaja mencemarkan alam, tetapi juga memberi kesan buruk kepada imej Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa penyelesaian terhadap isu pencemaran plastik memerlukan kerjasama daripada semua pihak, termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, komuniti dan pihak berkepentingan lain.

Dr. Joachim turut memuji penganjuran simposium yang menjadi platform bagi pihak berkepentingan berkongsi maklumat, pandangan, dan inisiatif berkaitan pengurusan plastik.

“Saya berharap, melalui kerjasama semua pihak, kita dapat membangunkan strategi intervensi yang lebih mapan yang memberi tumpuan kepada pengurusan dan pengurangan sisa plastik serta pencegahan kebocoran plastik ke alam sekitar.

“Harapan saya juga agar undang-undang dan dasar pengurusan dapat diperkukuh dan dipertingkatkan untuk menangani isu pencemaran plastik di Sabah dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat untuk tidak memandang ringan isu ini dan memahami bahawa tanggungjawab menangani pencemaran plastik terletak di bahu setiap individu.

Katanya, hanya melalui usaha bersama, Sabah dapat merealisasikan matlamat untuk menjadi negeri bebas pencemaran plastik.

Turut hadir Setiausaha Rendah (Pembangunan) KKTP, Johnny Samson; Pengarah Pemuliharaan Kanan WWF Malaysia, Dr. Henry Chan dan Pengerusi Perikatan CSO-SDG Sabah, Ruth Yap.