KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga (ST) berjaya melupuskan sejumlah 1,224 barangan rampasan bernilai lebih RM100,000 bagi kes-kes di Negeri Sabah.
Proses pelupusan ini melibatkan beberapa kes termasuk kes-kes Ops Curi Elektrik yang melibatkan 5 kertas siasatan, Ops Kelengkapan Elektrik yang melibatkan 4 kertas siasatan, dan Kes Kemalangan Elektrik yang melibatkan 4 kertas siasatan.
Timbalan Pengarah Unit Penyiasatan ST, Ir. Nik Mohd Bakhry Abu Bakar menyaksikan proses pelupusan tersebut di sebuah pusat pembuangan dan pelupusan logam di Kota Kinabalu Industrial Park pada Khamis (21 Nov).
“Pelupusan barang rampasan dilakukan berdasarkan arahan Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang telah selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.
“ST telah melantik sebuah syarikat yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pengurusan e-waste dilaksanakan secara lestari, bagi mematuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Proses pengurusan barangan kes ini melibatkan pengasingan antara sisa terjadual, sisa boleh dikitar semula dan sampah.
“Menurut pihak syarikat, barangan ini akan dihantar kepada pembeli dan ke fasiliti pemprosesan lengkap jadual berdasarkan pengasingan yang dilaksanakan,” katanya dalam sebuah kenyataan.