KOTA KINABALU: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumpul 180 kilogram sampah yang terapung di perairan berhampiran jeti Jesselton Point di sini pada Selasa.
Tindakan itu dibuat selepas kejadian itu didedahkan kepada umum oleh ‘vlogger’ MattGoesGlobal di TikTok yang menyifatkannya sebagai tragis.
“Apa yang berlaku di sini? Saya berpegang pada diri saya untuk jujur dalam video saya. Saya tidak mahu berbohong, ini tidak cukup bagus,” katanya dalam klip berdurasi 36 saat yang dimuat naik pada hari yang sama.
Video itu telah mengumpul 12 ribu ‘like’ dalam masa 24 jam.
“Sesuatu perlu dilakukan tentang itu,” katanya sambil menunjuk pada campuran sisa plastik dan rumpai laut.
“Di UK mereka membuatkan kami minum daripada penyedut minuman kertas dan mengurangkan penggunaan bahan buangan kami tetapi di mana penyu tinggal, ia tidak penting,” kata warga London berusia 23 tahun itu.
Kebanyakan komen daripada penduduk tempatan menyalahkan DBKK.
Komen teratas menyebut agensi kerajaan tempatan itu sebagai pemalas manakala seorang lagi berkata kotoran itu telah memalukan negeri.
Ada yang mengatakan itu berpunca daripada perkampungan air di Pulau Gaya yang berhampiran.
Ada juga yang menyindir: “Tuan, ini bukan sampah tetapi khazanah kami yang berharga. Tolong jangan ambil dari kami”.
DBKK dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Matt kerana memaklumkan keadaan itu kepada mereka.
“DBKK akan sentiasa memantau dan memastikan tahap kebersihan di Jesselton Point serta kawasan pantai dalam bandar adalah dalam bersih dan terkawal.
“Kami menyeru rakyat untuk bekerjasama menjaga kebersihan alam sekitar dan menguruskan sisa secara bertanggungjawab ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar yang bersih, indah dan berdaya huni,” katanya.