KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 8,000 pelajar pelbagai bidang dan peringkat pengajian menerima manfaat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) setakat ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata TPNS telah meluluskan bantuan berjumlah RM 8.5 juta sejak tahun lepas bagi membantu pendidikan anak-anak Sabah khususnya pembayaran yuran akademik.
“Mana-mana yang berdaftar eKasih, kita akan berikan mereka yuran untuk satu semester.
“Kemudian kita tambah RM2,000 untuk sara hidup mereka, ini keputusan kita tadi dan mudah-mudahan ada manfaatnya untuk semua.
“Hari ini juga, kita telah meluluskan lebih kurang 300 bantuan kepada pelajar kita berjumlah lebih kurang RM1.2 juta,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Pendidikan Tinggi Negeri Sabah, pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan beberapa perkara berkaitan pendidikan di Sabah telah dimuktamadkan hasil pertemuan dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek baru-baru ini.
“Antaranya berhubung dengan kos atau peruntukan untuk keperluan segera, ini juga telah diluluskan. Kemudian kita juga meminta supaya Citra Sabah (Hari Sabah) dimasukkan dalam kurikulum.
“Yang seterusnya berhubung dengan pegawai teknikal yang perlu untuk memastikan bangunan sekolah berskala tujuh dapat dikenal pasti dengan segera,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa TPNS.
Beliau juga memberitahu permohonan untuk mempercepatkan proses baik pulih 10 sekolah yang rosak akibat ribut dan 200 sekolah daif di negeri ini telah diajukan ke peringkat persekutuan untuk tindakan.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Timbalan Pengerusi TPNS, Datuk Sri Gulamhaidar Khan Bahadar dan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali. — JABATAN PENERANGAN SABAH