Advertisement

Seramai 19,344 Orang Sabah Bekerja Dalam Perkhidmatan Awam Di Semenanjung Malaysia: JPM – Sabah News

KUALA LUMPUR: Seramai 19,344 rakyat Sabah kini bekerja dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu berdasarkan data daripada Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) setakat 5 Oktober 2024.

“Pegawai kelahiran Sabah ini bertugas di pelbagai kementerian atau jabatan,” katanya dalam satu jawapan bertulis terhadap Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) semasa sesi Soalan Lisan Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Dalam soalannya Madius meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan kakitangan yang berasal dari Sabah yang bertugas di Semenanjung.

“Adakah kerajaan sedar bahawa ramai daripada mereka yang ingin ditempatkan bertugas di Sabah, dan apakah langkah-langkah Kerajaan dan menyelesaikan perkara ini,” tegasnya.

Menurut Zaliha, kerajaan membenarkan pegawai awam persekutuan (pegawai gunasama) kelahiran Sabah yang ingin bertukar ke Jabatan – Jabatan Persekutuan Negeri dan berminat ditempatkan di Sabah.

“Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada beberapa syarat termasuk skim perkhidmatan pegawai, kekosongan jawatan di lokasi penempatan yang dimohon, dan pegawai telah berkhidmat selama tiga tahun di penempatan semasa.

“Selain itu, ia juga bergantung kepada kedudukan susunan (queue) permohonan pertukaran ke lokasi atau negeri yang dimohon, dan ketersediaan pegawai ganti bagi menggantikan tempat yang akan dikosongkan,” jelasnya.

Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, pertukaran pegawai juga perlu selaras dengan prinsip pertukaran dan pusingan kerja.

Katanya, ia dengan mengambil kira kedudukan terkini pegawai awam seperti gred dan kekananan pegawai, kepakaran bidang pengkhususan, pengalaman dan kriteria yang menepati keperluan bidang tugas jawatan di lokasi atau negeri yang akan ditempatkan.

“Bagi pegawai bukan gunasama pula, urusan pertukaran diuruskan oleh Kementerian masing-masing.

“Antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menyelesaikan perkara ini adalah menyediakan medium permohonan pertukaran guru secara dalam talian iaitu Modul Pertukaran Guru (eGTukar),” tambah Zaliha.