Advertisement

19 Usahawan TEKUN Nasional Terima Anugerah Usahawan Berjaya, Ewon Harap Pengiktirafan Ini Jadi Motivasi Pada Usahawan Lain – Sabah News

Ewon (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama usahawan penerima anugerah

KUALA LUMPUR: Seramai 19 usahawan TEKUN Nasional menerima anugerah peringkat negeri dan peringkat kebangsaan, dalam Majlis Anugerah Usahawan Berjaya TEKUN Nasional 2024, di World Trade Center, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berharap pengiktirafan itu akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan masing-masing.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan kejayaan usahawan-usahawan ini. Saya juga merancang untuk mengadakan kunjungan kepada premis mereka bermula dengan penerima anugerah kebangsaan.

“Semoga kejayaan mereka menjadi motivasi dan inspirasi kepada usahawan atau bakal usahawan, bermula dengan langkah yang kecil tetapi semangat dan disiplin yang besar, bermula dengan usaha kecil tetapi punya wawasan besar, memulakan dengan modal kecil tetapi meraih pendapatan yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, semalam.

Ewon berkata, majlis anugerah ini adalah untuk meraihkan usahawan cemerlang yang dibimbing dan dibiayai oleh TEKUN dan berharap ia akan memberi motivasi kepada usahawan lain untuk terus berkembang.

“Dengan Pengiktirafan ini, maka agensi dan institusi pembiayaan yang lain juga boleh menggunakan pengiktirafan anugerah ini untuk memberi modal yang lebih besar kepada mereka mengembangkan lagi perusahaan mereka,” katanya.

Beliau turut menghargai gerak kerja TEKUN Nasional dalam membantu dan membimbing para usahawan mereka yang kini mencecah hampir 600,000 orang sejak ditubuhkan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menyokong warga kerja TEKUN dalam membangunkan sektor keusahawanan mikro dan kecil dalam negara,” katanya.

TEKUN telah menerima 14 anugerah di peringkat antarabangsa. Tahun ini, TEKUN menerima Anugerah SME Development 2024 daripada Association of Development Financial Institution Asia Pacific di Phnom Penh, Cambodia serta menerima pengiktirafan persijilan ISO 22301 Business Continuity Management System daripada SIRIM QAS International dan IQNet, juga persijilan ISO 37001 Anti Bribery Management System daripada Anti Bribery Anti Corruption Center of Excellence dan United Kingdom Accreditation Service.

Ewon berkata, ini membuktikan peranan penting TEKUN dalam pembangunan keusahawanan dalam tadbir urus yang memenuhi piawaian bukan hanya di peringkat negara tetapi peringkat antarabangsa.