RANAU: Kejohanan Badminton Tertutup Ranau 2024 berjaya memberikan paltform kepada para atlet tempatan untuk menunjukkan bakat sekali gus mempromosikan semangat persaingan yang sihat.
Kejohanan yang berlangsung pada 23 hingga 24 November lalu di Dewan Masyarakat Ranau telah menyaksikan penyertaan seramai 148 orang dalam lima kategori pertandingan.
Seramai 30 orang ahli jawatankuasa, termasuk pegawai pengadil dan urusetia, terlibat secara langsung bagi memastikan kelancaran kejohanan di bawah anjuran The People dengan kerjasama Goodminton BC dan Rukut Rukut BC.
Acara ini berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa, menunjukkan minat yang tinggi terhadap sukan badminton dalam kalangan komuniti setempat.
Presiden The People BC, Kahirul Fuad Junaidi berkata, pihaknya amat gembira dengan sambutan yang sangat positif daripada masyarakat tempatan terhadap penganjuran kejohanan itu.
“Kejohanan ini bukan sahaja menggalakkan sukan badminton, malah mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat di Ranau.
“Kami berharap acara ini akan menjadi acara tahunan yang dapat menarik lebih ramai individu untuk menyertai aktiviti sukan dan gaya hidup sihat,” katanya yang merasmikan kejohanan itu.
Hadir sama, Presiden Rukut Rukut BC, Asoh Shiung dan Presiden GOODminton BC, Hazimin Hamin.
Pasukan penganjur kini sedang merancang untuk menganjurkan acara-acara serupa pada masa akan datang untuk terus menggalakkan penglibatan dalam sukan di seluruh daerah ini.