KUALA LUMPUR – Kumpulan Margasatwa, salah satu kumpulan muzik tempatan yang sedang meningkat naik, dengan penuh teruja mengumumkan pelancaran album terbaharu mereka, SERIBUDAYA.
Album ini menjadi manifestasi perjalanan seni mereka selama hampir lima tahun, menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden yang membawa nafas segar ke dalam dunia muzik Malaysia.
Album SERIBUDAYA merupakan sebuah karya yang dihasilkan dengan penuh dedikasi, dirakam di pelbagai studio termasuk Makmal Kampung Batu, Studio Selingsing, dan Studio Tongkat Sakti.
Proses pengadunan dan mastering pula dikendalikan oleh penerbit terkemuka seperti Rahmad Kamikaze dan Rozhan.
Dengan arahan kreatif dari penerbit muzik Loque, album ini menghidupkan semula nilai budaya dan seni melalui pendekatan muzik kontemporari.
Loque menyifatkan pembabitan dalam pembikinan SERIBUDAYA sebagai sebuah pengalaman berbeza yang pernah dilalui sebelum ini dan teruja dengan kembara eksperimentasi sepanjang bekerjasama.
”Margasatwa sangat sarat dengan seni bukan hanya luaran tetapi dalaman juga. Mereka berpengetahuan dalam bidang muzik menjadikan saya seronok berkarya kerana kami dapat bereksperimentasi dengan bukan hanya bunyi tapi dengan gubahan.
”Saya hanya menolong dari segi penerbitan tapi tulis lagu dan main lagu mereka sendiri, mereka adalah pemuzik yang hebat kerana berpengetahuan.
”Lagu-lagu yang ditulis oleh Kimal dan Fadhil serta Margasatwa sendiri adalah kombinasi yang menarik. Kesimpulannya Margasatwa punya benih-benih yang akan membantu bunyi dan tumbesaran seni di Malaysia. SENIBUDAYA ini adalah penggembaran muzik. Seni yang patut diraikan,” ujar Loque.
Konsert yang dinamakan GEMPITA ALAM SERIBUDAYA dijadualkan bakal berlangsung di RGB Studio, Shah Alam pada 30 November ini.