Advertisement

Bawa Laju, Penunggang Motor Maut Bergesel Di Lampu Isyarat Jalan Gaya – Sabah News

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut terbabas selepas bergesel dengan sebuah lagi motosikal yang berada di hadapannya dekat lampu isyarat Deasoka, Jalan Gaya, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, mangsa lelaki berusia 30an yang menaiki motosikal jenis Honda RXS datang dari arah bulatan Bandaraya menuju ke Jalan Gaya dengan laju dalam kejadian 4.35 pagi itu.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, mangsa telah melanggar sebuah motosikal lagi yang berada dihadapannya lalu begesel dan mengakibatkannya telah hilang kawalan dan terbabas.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal Honda RXS tersebut telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan yang bertugas, manakala seorang lagi penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan.

“Hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal jenis Honda RXS tersebut yang cuai di dalam pemanduannya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kasim menasihati orang ramai agar sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalulintas.