Advertisement

Manchester United Berikan Semangat Kepada Mangsa Banjir Malaysia Dalam Bahasa Rasmi  – Sabah News

KOTA KINABALU: Manchester United telah menarik perhatian peminat bola sepak Malaysia dengan mesej untuk mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Mesej di laman Facebook rasmi kelab bola itu semalam lebih bermakna kerana ditulis dalam Bahasa Malaysia.

“Kepada rakyat Malaysia, jaga diri pada musim hujan ini. Kami sentiasa di belakang anda rakyat Malaysia! Kepada mangsa banjir yang terjejas, semoga dapat mengatasi cabaran ini dengan baik dan selamat,” katanya.

Siaran itu telah mendapat 10,000 like, 2,100 share dan 490 komen yang rata-rata dibuat rakyat Malaysia.

Ramai yang menyatakan bahawa mesej United adalah peringatan bahawa bola sepak bukan hanya tentang permainan tetapi mengenai komuniti, sokongan dan kekuatan.

“Inilah kami, Manchester United. Kesatuan yang merentasi sempadan, bukan saja di atas padang bola,” tulis pengguna Abdullah Afiq.

Elzaat Mighraa sempat melawak: “Ahad ni pastikan menang, kalau tak lagi banjir kami dibuatnya”.

Beberapa peminat Liverpool dan Chelsea turut berterima kasih atas ucapan itu sambil memberikan kata-kata penghormatan.

Lebih 102,253 penduduk dari sembilan negeri terjejas akibat banjir semalam yang kini ditempatkan di 643 pusat pemindahan.