KUALA LUMPUR: Hael Husaini dan Nadeera Zaini yang merupakan artis naungan Rocketfuel Entertainment telah mencipta detik bersejarah dengan melakukan persembahan yang berjaya menambat hati penonton di Asia khususnya di Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) di Jakarta, indonesia baru-baru ini.
Lebih membanggakan, kedua-dua artis ini menerima permintaan istimewa daripada Indosiar dan penganjur Asian TV Awards untuk membuat persembahan tambahan pada malam kedua.
Pada mulanya, Hael Husaini dan Nadeera hanya perlu menyanyikan dua buah lagu di Asian TV Awards yang ke-29, namun setelah melihat persembahan memukau mereka pada hari pertama, pihak Indosiar & Asian TV Awards telah menemui pihak Rocketfuel Entertainment dan memohon agar Hael Husaini dan Nadeera melakukan persembahan tambahan pada malam anugerah utama 30 November 2024.
Pihak Rocketfuel Entertainment serta Hael Husaini & Nadeera akhirnya bersetuju dengan permintaan mereka dan memilih lagu ‘Kelentang Kelentong’ & ‘Bukan Cinta Biasa’ selaku lagu tambahan yang ketiga.
Pada malam pertama, Hael Husaini memukau ribuan penonton dengan persembahan bertenaga lagu-lagu popularnya seperti “Jampi”, manakala di malam kedua, lagu “Diam”, dan “Kelentang Kelentong” menjadi pilihan persembahan Hael.
Gaya persembahan Hael yang penuh dengan karisma berjaya menawan hati penonton di lokasi dan jutaan peminat yang menonton secara langsung melalui saluran Indosiar dan aplikasi Vidio, yang dianggarkan mencecah hampir 500 juta penonton.
Nadeera Zaini pula tidak kurang hebat dengan lontaran vokalnya dan persembahan penuh emosi menerusi lagu-lagu klasik popular seperti “Nirmala” dan “Bukan Cinta Biasa serta lagu hit beliau, “Bukan Lagi Kita”, yang kini menjadi runut bunyi bagi sebuah drama popular akan datang iaitu Curang Tanpa Niat turut mencuri perhatian penonton serantau.
“Saya amat bersyukur dan terharu dengan penghormatan ini. Pada asalnya, kami hanya dijadualkan untuk membawakan dua lagu, tetapi apabila diminta untuk membuat persembahan tambahan, ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa.
“Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij ini. Ini adalah peluang besar untuk kami berkongsi budaya dan muzik Malaysia dengan dunia,” kata Hael Husaini selepas persembahan.
“Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada penonton di sini. Dapat kembali ke pentas pada malam kedua dengan lagu tambahan atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan yang tidak ternilai dan ini adalah pengalaman yang luar biasa.
“Sokongan peminat dari Malaysia dan juga luar negara memberikan kami semangat untuk terus berkarya dan membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.” tambahnya.
Selain mendapat sorakan gemuruh daripada penonton di studio, persembahan mereka turut menerima pujian daripada media antarabangsa dan penggiat seni dari negara-negara lain yang hadir pada acara tersebut.
Dengan siaran langsung yang disaksikan oleh hampir 500 juta penonton dari seluruh Asia, persembahan Hael Husaini dan Nadeera Zaini di Anugerah Televisyen Asia ke-29 telah mengukir nama mereka dalam sejarah hiburan serantau dan membuka pintu untuk lebih banyak peluang untuk mereka bergerak maju di masa depan.
Antara selebriti Asia yang ada di Anugerah Televisyen Asian yang ke-29 ini (Asian TV Awards) ialah Luna Maya, Raffi Ahmad, Tony Gapa, Robby Purba & Louise Hesse selaku pengacara dan juga bintang popular lain iaitu Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose, Putri Ariani dan ramai laagi.
Anugerah Televisyen Asia (Asian TV Awards) merupakan acara tahunan yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri televisyen Asia.
Acara ini merangkumi pelbagai kategori termasuk drama terbaik, pelakon terbaik, pengarah terbaik, dan persembahan muzik terbaik, dengan penyertaan dari lebih 20 negara di seluruh rantau Asia.