KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berharap agar hubungan kerjasama dan perpaduan di antara parti-parti di Sabah khusus GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah akan terus mantap.
Perkara tersebut dinyatakan Hajiji sambil memberi ucapan tahniah kepada Pengerusi UPKO, Datuk Ewon Benedick kerana dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu menggantikan Datuk Christina Liew.
“Kita ucap tahniah kepada Ewon sudah dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah dan kita harap hubungan kerjasama dan perpaduan di antara parti-parti Sabah ini terutama PH dan GRS akan terus mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035; Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku ReTrack di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, pertukaran Pengerusi ini juga tidak menjadi masalah bagi pihaknya.
“Pemimpin yang kita bekerjasama sekarang adalah yang kita kerjasama sebelum ini, jadi kita akan teruskan usaha ini.
“Ini cuma memimpin satu kumpulan atau gabungan PH dan dalam PH itu ada parti DAP, PKR, UPKO dan AMANAH campur dengan GRS di mana kita pun ada banyak parti.
“Jadi, kita rapatkan kerjasama ini untuk kebaikan negeri Sabah,” tegas Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).