KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) telah membentuk jawatankuasa untuk meneliti cadangan penggabungan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kata Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai.
Jelasnya, keputusan yang dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBS pada Selasa ialah susulan perbincangan tidak rasmi antara kepimpinan kedua-dua parti untuk meneroka kemungkinan penggabungan.
“Mesyuarat yang dipengerusikan oleh pemangku Presiden Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam memberi tugas mengetuai jawatankuasa itu kepada Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui,” katanya dalam sebuah kenyataan.
PBS dan STAR pada April lalu telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan sebelum Oktober tahun depan.
Minggu lalu, Majlis Pimpinan Bersama parti itu mengadakan mesyuarat kedua bagi mengukuhkan kerjasamanya, termasuk mengenal pasti kerusi yang diharapkan untuk bertanding dan merangka pelan strategik.
Jawatankuasa itu, yang anggotanya termasuk beberapa peguam, akan meneliti aspek teknikal penggabungan itu, antara lain.
Joniston berkata keputusan penting lain yang dibuat pada mesyuarat itu ialah menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan memandangkan pilihan raya negeri yang akan datang.