KINABATANGAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga, iaitu hari ini terhadap seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri menjadi mangsa baham buaya Ahad lalu masih belum menemui sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, operasi SAR oleh pasukan Bomba hari ini dimulakan pada jam 8.40 pagi dengan radius pencarian 4 kilometer ke hilir dan 4 kilometer ke muara dari mangsa dilaporkan.
“Kaedah pencarian menggunakan surface searching bersama agensi lain seperti PDRM, Jabatan Perhilitan dan orang awam.
“Tiada liputan Girn dan talian telefon di lokasi (laporan kepada Pihak SAPURA telah dibuat) dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Ahad lalu, BBP Kinabatangan menerima laporan mangsa Kisman Baco, 36 tahun dikhuatiri dibaham buaya di tepi sungai pada 10.35 malam.
“Menurut saksi iaitu anak mangsa, dia bersama ayahnya sedang mencuci bot ditepi sungai dan menyedari ayahnya tiba-tiba tiada.
“Pasukan Bomba seterusnya ke lokasi pada keesokan paginya, iaitu Isnin (kelmarin) memandangkan jarak ke lokasi adalah lebih kurang 100KM,” jelasnya.