Advertisement

Video MKini: Masidi Sudah Beri Keterangan Kepada SPRM KK Secara Sukarela Tanpa Dipanggil – Sabah News

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun telah hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu secara sukarela mengenai video disiarkan MalaysiaKini yang mengaitkan beliau.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya secara sukarela dan tanpa dipanggil oleh pihak SPRM telah memberi keterangan berkenaan video yang tular hari ini di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 8 malam tadi.

“Sepertimana yang saya telah maklumkan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak yang berwajib untuk menyiasat isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Masidi, kunjungan beliau ke Pejabat SPRM Kota Kinabalu juga adalah untu membantu siasatan.

“Kunjungan saya ke Pejabat SPRM malam ini adalah untuk membantu siasatan dan tanda sokongan saya kepada usaha SPRM membanteras rasuah di negeri ini,” tegasnya.

Sebelum itu, Masidi dalam satu kenyataan menafikan video ‘Whistleblower’ yang ditularkan oleh portal berita MalaysiaKini petang tadi.

“Sekadar untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan tersebut kerana rakaman perbualan tersebut telah disunting.

“Yang saya ingat beliau menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya telah menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Saya tidak tahu menahu mengenai wang sebanyak RM300 ribu yang kononnya diserahkan melalui pegawai khas saya,” tegas beliau.