SHAH ALAM: Festival of Drum and Percussion Malaysia merupakan sebuah festival muzik yang penuh dengan warna-warni, membawa bersama pelbagai alat muzik dram, gendang dan perkusi, demi mencipta irama dan bunyi (Rhythm & Sound) yang merangkumi berbilang budaya dan harmoni.
Menerusi Festival of Drum and Percussion Malaysia yang berlangsung selama satu hari ini, kita akan menyaksikan acara-acara Drums & Percussion Showcase dengan sesi Interaktif – worksyop & klinik; dalam pelbagai genre, persembahan drumline, serta sebuah Gala Konsert “All-Star Show” yang mengagumkan.
Antara artis dan pemuzik yang terlibat termasuk Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Dato Zainal Abidin, Kamrul Hussin, Lola, XPDC, Pa’ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton, Gong, Ujang Exists dan jemputan khas lainnya.
Menurut Aznan Alias yang merupakan gitaris terkenal negara, acara ini perlu ditonton oleh semua golongan terutamanya peminat muzik tanah air kerana acara ini menghimpunkan semua pemuzik terkenal negara.
“Saya yakin bahawa highlight untuk festival ini merupakan workshop dan klinik yang diadakan di sebelah siang. Ini merupakan peluang terbaik untuk penonton, peminat muzik dan pelajar untuk mendapatkan infomasi terbaik, bertanya dan berdepan secara terus, sebuah acara ‘up close & personal and intimate.’
“Malah festival ini memberikan bukan satu tetapi lapan klinik untuk dihadiri dan audiens boleh menimba ilmu dan pengalaman yang banyak di sini, “ujar Aznan yang juga merupakan Pengarang Muzik buat penyanyi terkenal Dato’ M.Nasir.
Manakala Fly Halizor pula menyifatkan bahawa acara ini akan melebarkan networking kepada mereka yang mahu menjadikan muzik sebagai karier.
“Para pengunjung terutamanya peminat muzik tanah air akan dapat belajar ilmu muzik dengan pelbagai jenis genre. Malah dapat mempelajari ilmu baru sambil berhibur dengan konsert yang padat dengan pemuzik dan penyanyi professional Malaysia,” ujar Fly yang merupakan pemain bass dan juga pensyarah muzik.
Pa’ang Zaman yang merupakan pemain perksusi terkenal Malaysia menyatakan dalam seloka dua sebab kenapa festival ini perlu dihadiri.
Katanya,” Sebab ada Ujang Exists dan ada Pa’ang Zaman. “
Rie Tsuji pula, seorang pemain keyboard dan arranger music menyatakan rasa terharunya dapat menjadi sebahagian dari festival yang julung-julung kali diadakan ini.
“Saya dan beberapa pemuzik akan membawakan lagu Sakura, sebuah lagu tradisional Jepun. Saya juga menyusun semula lagu Imagine oleh John Lennon. Bunyinya akan berbeza. Kita juga ada tetamu Istimewa,” ujar Rie.
Manakala Ujang Exists yang merupakan salah seorang ‘most wanted musician in Malaysia’ menggalakkan semua peminat muzik tanah air untuk melihat persembahan yang bakal diadakan oleh para pemuzik di malam Gala Konsert “All-Star Show” itu nanti.
“Hadirlah ke ‘Showcase & Drum Clinics’ yang akan diadakan di sebelah siang untuk menimba pelbagai ilmu dan berbagi pengalaman secara ‘live’ dengan pemuzik Malaysia.
“Pada sebelahnya pula saya dan beberapa pemuzik lain akan bergabung untuk memberikan persembahan menarik untuk slot persembahan kami. Saksikan sesuatu yang berlainan dari Ujang & Friends untuk persembahan malam gala itu nanti. Pasti lain dari yang lain!,” ujar Ujang Exists.
“Objektif utama Festival of Drum and Percussion Malaysia dianjurkan adalah untuk mempromosikan seni drum dan perkusi, serta menyumbang kepada industri kreatif Malaysia selain meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian alat perkusi dan teknik melalui ceramah, bengkel, dan persembahan.
“Oleh yang demikian, kami selaku penganjur juga menganjurkan Gala Konsert “All-Star Show” yang merupakan kolaborasi dan gabungan Persembahan Moden Drum, Latin, World & Etnik Percussion, dan Malaysia tradisional percussion, diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama artis dan pemuzik jemputan untuk mempamerkan kepada semua bahawa bakat pelaku seni tempatan kita mempunyai kredibiliti yang perlu terus disokong dan dibanggakan,” ujar dari Jin dari JS Music selaku penganjur festival.
Festival yang berlangsung pada 7 Disember 2024 di Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam, Selangor ini akan bermula dari 10 pagi sehingga 11 malam.
Gala Konsert All-Star Show akan berlangsung pukul 8.45 sehingga 11 malam.
Dua kategori tiket iaitu Festival Pass dan Tiket Konsert dijual kepada pengunjung.
“Pemegang “Festival Pass” akan dapat menikmati keseluruhan Festival, termasuk makan malam yang disediakan.
“Tiket konsert pula sesuai untuk sesiapa yang hanya berminat untuk menyaksikan Gala Konsert sahaja,” ujar Jin lagi.