KUALA LUMPUR : Finalis mewakili Borneo dari Sabah, Ani Mustapah berjaya meraih tiga gelaran di Miss & Mrs Legend Universal Beauty Pageant 2024 yang berlangsung di sini malam tadi.
Ani, 48, yang bertanding dalam kategori Classic pada acara berprestij itu dinobatkan sebagai Mrs Legend Universal Earth Champion 2024, sekaligus mengharumkan nama Sabah di peringkat dunia.
Sehari sebelumnya, Ani turut meraih gelaran Mrs Most Elegent dan Best Costume yang turut memperagakan busana etnik Bajau Samah Kota Belud termasuklah bagi acara Cowboy Party yang mengenakan pakaian ‘Cowboy of the East’ Kota Belud hasil sentuhan pereka tempatan, Nazir Badu Samah.
Seramai 44 orang finalis 14 buah negara hadir melabuhkan cabaran yang mana antaranya dari Jepun, China, Taiwan, Russia, India dan negara-negara Asia yang lain.
Ani meluahkan kebanggan mengibarkan bendera Sabah untuk mewakili Borneo dan menampilkan sendiri busana etnik Bajau Samah dari daearh Kota Belud.
“Saya juga teruja bila finalis lain begitu takjub dengan pakaian tradisi suku bajau dan ini menarik perhatian mereka untuk datang ke Sabah.
“Saya menunjukkan gambar-gambar menarik yang ada di Sabah dan mereka sangat terpegun dengan keindahan negeri kita ini.
“Saya sedar, untuk meraih sebarang gelaran di pentas dunia bukanlah mudah tetapi semangat saya tidak pernah luntur kerana saya bangga saya orang Sabah dan anak jati Kota Belud.
“Saya pikul tanggungjawab besar untuk nama Sabah dan saya memang mengidamkan gelaran Universal ini setelah berjaya menempah tiket melalui saingan Miss & Mrs Stellar di Sarawak tiga bulan lalu,” katanya.
Ani berkata merasakan perasaan gemuruh dan berdebar apabila berada dalam kalangan ratu-ratu cantik dari negara asing kerana mereka tidak akan hadir ke acara berprestij itu jika tidak memegang apa-apa gelaran dari negara mereka.
“Mereka semua hebat-hebat dan cantik-cantik belaka dengan rekaan busana masing-masing tetapi atas sokongan suami dan Pengarah Borneo Kimi Tomas serta rakan-rakan lain, saya lalui semua itu dengan gigih,” jelasnya.