Advertisement

Gesaan Ketua Pemuda UMNO Sabah Tidak Berasas, Tiada Keperluan Hajiji Lepaskan Jawatan Ketua Menteri – Fairuz – Sabah News

Datuk Fairuz Renddan, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Gesaan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim untuk mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletakkan jawatan adalah tidak berasas dan tiada keperluan Hajiji melepaskan jawatan tersebut sekarang.

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan berkata, jawatan Ketua Menteri hanya boleh dilepaskan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun peletakan jawatan Ketua Menteri sendiri.

“Berdasarkan video-video yang disebarkan, tiada langsung menyebut Hajiji menerima wang atau terlibat dengan kes tersebut, malah paparan video tersebut jelas membuktikan bahawa Hajiji mengambil keputusan membatalkan Lesen Cari Gali (Prospecting Licence) kerana wujudnya pengaruh kartel.

“Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 November lalu telah mengeluarkan satu kenyataan media di mana proses siasatan telah pun dimulakan.

“Sehingga hari ini, nama Hajiji tiada langsung dipanggil untuk memberi keterangan sekali gus membuktikan beliau langsung tidak terlibat dengan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fairuz berkata, sehingga kini juga, berdasarkan sidang media oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 10 November lalu, tiada satu pun laporan yang dibuat kepada SPRM berkenaan keterlibatan ADUN-ADUN di Sabah dengan tuduhan rasuah tersebut.

“Siasatan SPRM sentiasa dijalankan secara telus dan bebas, terpulang kepada pihak SPRM untuk mendedahkan hasil siasatan kepada umum kerana jelas tiada apa yang perlu disembunyikan seiring kenyataan Ketua Menteri pada 12 November lalu, ‘we have nothing to hide’.

“Oleh yang demikian, secara perundangan, tiada satu pun peruntukan yangmemberi hak kepada mana-mana pihak untuk mendesak agar Ketua Menteri meletakkan jawatan untuk membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

“Suka untuk kami ingatkan, seorang ADUN juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun pada ketika itu beliau masih di dalam proses perbicaraan mengenai kes rasuah yang melibatkan jutaan ringgit.

“Dan ironinya, beliau tidak pernah melepaskan jawatan beliau dan baru-baru ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan beliau untuk membela diri,” tegas Fairuz merujuk kepada kes Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Tambah Fairuz lagi, Pemuda Gagasan Rakyat meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa khususnya SPRM yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menghormati proses undang-undang dan sesekali tidak akan terlibat dengan perbincangan serta provokasi di dalam media sosial,” jelasnya.

Memetik laporan MKini, Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu-isu yang melibatkan Adun-Adun Sabah berkaitan skandal Sabah Mineral Management Sdn Bhd.

Katanya, berdasarkan video-video yang tular, terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah dan Hajiji mesti mengambil tanggungjawab penuh.