KOTA KINABALU: Sejak semalam (3 Disember), tular satu dakwaan di media sosial yang mengatakan data MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia bocor dan dijual di lawan web gelap (dark web).
Ciapan yang dimuat naik di akaun X @stealthmole_int itu turut berkongsi beberapa gambar MyKad yang dipercayai telah dibocorkan itu.
“Didakwa bahawa data 17 juta MyKad warga Malaysia telah dibocorkan dan sedang dijual di web gelap. Sebagai bukti, mereka telah berkongsi secara terbuka sampel kad pengenalan Malaysia di web gelap.
“Pelanggaran data besar-besaran ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membawa kepada jenayah serius seperti kecurian identiti dan penipuan kewangan,” ciapnya.
Memetik BuzzKini, dakwaan sebegini bukanlah kali pertama berlaku di mana sebelum ini pernah tular di media sosial kononnya pangkalan data Malayan Banking Bhd (Maybank) yang mempunyai maklumat para pelanggannya telah bocor di dalam sebuah forum dark web.
“Dakwaan yang tular itu sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai memandangkan syarikat perbankan terbabit mempunyai ramai pengguna.
“Bagaimanapun, Maybank yang cakna akan dakwaan terbabit telah tampil meyakinkan pelanggannya bahawa sistem mereka kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya,” lapor portal berita tersebut.