Advertisement

Video MKini: Jika Dipanggil Semula, Saya Tidak Akan Pura-Pura Sakit – Masiung Sudah Beri Keterangan Kepada SPRM – Sabah News

Masiung selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah telah hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pagi tadi bagi memberi keterangan susulan video tular disiarkan oleh portal berita MalaysiaKini sejak semalam yang mengaitkan beliau.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, beliau sentiasa bersedia sekiranya ada keperluan untuk memanggil beliau semula ke SPRM untuk memberikan penjelasan. 

“Saya juga masih lagi bersedia sekiranya ada keperluan untuk memanggil saya semula untuk memberikan penjelasan dan saya janji ketika saya dipanggil semula, saya tidak akan pura-pura sakit, saya tidak akan minta tunda dan saya harus bertanggungjawab kepada apa juga yang berlaku. 

“Cumanya saya tidak ingin mengulas lebih lanjut tentang penjelasan tadi, kerana biarlah kita serahkan kepada pihak yang berkuasa untuk membuat siasatan lanjut,” katanya selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masiung turut menggesa agar pihak pengadu, iaitu ‘Whistleblower’ untuk membekalkan video lengkap kepada pihak SPRM bagi tujuan siasatan.

“Kerana pengamatan saya, video yang dipertontonkan oleh pihak SPRM seolah-olah telah disunting atau pun di edit kerana ada perkatan-perkataan atau pun perbincangan yang tidak termasuk di sana dan cerita itu berpihak kepada si pengadu.

“Untuk penyokong dan rakyat saya di DUN Kuamut, kita tenang saja d posisi, kita terus melangkah dan kita akan ‘Tatap Kalaga,” seloroh Masiung.

Masiung dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak SPRM kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan profesional.