KOTA KINABALU: Insiden merakam seterusnya menularkan klip video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan isu kontroversi Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) disifatkan lebih kepada elemen ‘sakit hati’ dan dendam kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kerana membatalkan Lesen Mencarigali (Prospecting Licence).
Ketua Sayap Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Datuk Martin Idang berkata, keputusan yang dibuat secara pentadbiran ini dijadikan ’kuda tunggangan’ oleh sesetengah pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk mendesak Ketua Menteri membubarkan DUN lebih awal supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dapat diadakan lebih awal.
“Niat buruk ini hanya akan merugikan rakyat memandangkan Belanjawan Negeri Sabah 2025 baru sahaja dibentangkan di
Sidang DUN yang lalu dengan menekankan berkaitan kebajikan dan kemudahan kepada rakyat,” tegas Emmie dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Tambah Emmie desakan kepada Hajiji untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri adalah sangat tidak berasas dan bersifat mendahului siasatan pihak berwajib.
“Sayap Pergerakan Beliawanis berdiri teguh bersama pimpinan Gagasan Rakyat yang secara terbuka dan sukarela untuk berkerjasama dengan pihak PDRM dan SPRM bagi memastikan siasatan rapat dijalankan secara telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak demi memastikan rakyat mendapat
maklumat yang sahih dan tepat berkaitan proses siasatan yang sedang berlangsung.
“Di samping itu juga, Sayap Pergerakan Beliawanis ingin menyatakan dengan tegas bahawa kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik yang digunakan oleh mana-mana parti politik sebagai alasan untuk melemahkan dan menjejaskan kelancaran pentadbiran Kerajaan demi kepentingan mana-mana parti politik,” tegas Emmie.
Dalam pada itu, Emmie berkata, Hajiji sendiri dengan tegas dan terbuka telah mengarahkan agar pihak yang berwajib
meneruskan siasatan dengan dibantu oleh ADUN-ADUN yang disebut oleh pihak yang yang dikatakan sebagai
’whistleblower’ ini.
“Kami juga bertegas supaya pihak ’whistleblower’ ini turut disiasat memandangkan jelas kelihatan niat jahat untuk menimbulkan persepsi buruk kepada keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Sabah.
“Justeru, hanya siasatan secara menyeluruh dan terperinci berlandaskan undang-undang sahaja akan dapat memberikan penjelasan yang sebenar berkaitan tujuan video-video yang sengaja ditularkan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Emmie berkata, Sayap Pergerakan Beliawanis sentiasa bersikap neutral dalam membuat pertimbangan
apabila tidak mendesak mana-mana ADUN daripada Parti UMNO yang juga dalam proses penentuan keadilan oleh Mahkamah.
“Pada hemat kami, biarlah hukuman dan penentuan tersebut diadili dengan sebaiknya dengan prinsip ’innocent until proven guilty’.
“Jika, Pergerakan Puteri UMNO merasa ada keperluan untuk Hajiji meletakkan jawatan, mereka seharusnya mendesak Pengerusi Perhubungan BN Sabah untuk terlebih dahulu meletakkan jawatan memandangkan pertuduhan telah dilakukan serta kes prima facie telah dibuktikan dan diperintah untuk membela diri.
“Berbanding tiada sebarang sabitan ataupun laporan kepada
mana-mana pihak berkuasa ke atas YAB Ketua Menteri,” tegas Emmie menyelar kenyataan Puteri UMNO yang mendesak Hajiji untuk meletakkan jawatan.