Advertisement

Lelaki Tarik Tudung, Tolak Guna Siku Dan Pukul Kakak Bertubi-Tubi Hingga Cedera, Ditahan Polis – Sabah News

Foto: Ihsan Polis Tawau

TAWAU: Seorang lelaki yang bertindak menari tudung, menolak menggunakan siku dan memukul kakaknya bertubi-tubi hingga cedera dalam insiden pertengkaran di Hospital Tawau baru-baru ini telah ditahan polis.

Polis Tawau dalam satu kenyataan semalam berkata, tangkapan tersebut dibuat di Lorong Piang, Jalan Utara Baru bagi membantu siasatan dalam kes mendatangkan kecederaan kepada wanita. 

“Kejadian in berlaku di Hospital Tawau, dimana suspek yang merupakan adik kepada mangsa dengan secara tiba-tiba bertindak menarik tudung dan menolak mangsa ke dinding menggunakan sikunya.

“Suspek juga bertindak ganas memukul mangsa bertubi-tubi sehingga menyebabkan kecederaan pada kepala dan sakit pada kaki dan tangan mangsa. 

“Pertengkaran itu kemudiannya dileraikan oleh pengawal keselamatan yang bertugas,” jelas kenyataan itu.

Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis berdekatan untuk keselamatan diri.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau dikerahkan untuk mencari dan menahan suspek bagi membantu siasatan. Serbuan telah dibuat di rumah tidak bernombor di jalan Piang, Jalan Utara Baru dan berjaya menangkap suspek.

“Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat dibawah seksyen 323/326A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323,” katanya.