Advertisement

UMNO Sabah Perlu Cermin Diri Sebelum Kritik Hajiji – Christopher – Sabah News

Christoper Mandut, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS)

KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu menilai kedudukan sendiri sebelum mendesak Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan berhubung skandal projek mineral yang sedang hangat diperkatakan.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut, menegaskan bahawa Ketua Badan Perhubungan Sabah Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut berdepan tuduhan rasuah melibatkan RM2.8 juta yang berkaitan dengan pelaburan Felcra Bhd.

Mahkamah Rayuan pada 18 November lalu telah mengarahkan bekas timbalan ketua menteri Sabah, Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izzette Abdul Samad, untuk membela diri atas tuduhan tersebut.

“Jika Sabah Umno mendesak pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meletakkan jawatan, pengerusi mereka sendiri juga seharusnya berundur bagi membolehkan siasatan yang telus dan bebas dijalankan ke atas dakwaan rasuah beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Christopher berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pemuda Umno Sabah, Sufian Abd Karim, yang baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan potensi rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang tersebar dalam video tular.

Walaupun mengakui kebimbangan yang disuarakan oleh Sufian, Mandut menggesa Sabah Umno untuk “melihat diri sendiri di cermin” sebelum membuat desakan sedemikian.

Beliau turut menyatakan bahawa Ketua Menteri telah berkali-kali memberi jaminan kepada rakyat bahawa dakwaan rasuah terhadap beberapa ADUN berkenaan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM adalah badan bebas yang bertanggungjawab menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan salah laku di negara ini. Ketua Menteri telah berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan SPRM.

“Adakah Sufian meragui kredibiliti SPRM? Mengapa mendesak Ketua Menteri meletakkan jawatan apabila beliau telah pun komited kepada ketelusan?” soal Christopher.

Beliau menambah bahawa kenyataan Hajiji bahawa beliau “tiada apa yang hendak disembunyikan” mencerminkan keikhlasan dan komitmennya terhadap kebenaran.

“Jika Ketua Umno Sabah benar-benar tiada apa yang perlu disembunyikan, beliau perlu mempertimbangkan untuk meletak jawatan bagi membolehkan SPRM menyiasat kes rasuahnya tanpa prejudis.

“Sebagai Ahli Parlimen, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memelihara integriti kerajaan dan mengembalikan kepercayaan awam,” katanya.