Advertisement

ABIM Sabah Seru Hentikan Hiruk-Pikuk Politik Yang Menggugat Kestabilan – Sabah News

KOTA KINABALU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah menyeru semua pihak, khususnya pemimpin politik, untuk menghentikan segala bentuk hiruk-pikuk politik yang berpotensi menggugat kestabilan negeri Sabah.

Yang Dipertua ABIM Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata rakyat telah lama mengharapkan sebuah kepimpinan yang kukuh dan bersatu demi merealisasikan agenda pemulihan pasca pandemik COVID-19 yang masih meninggalkan kesan mendalam terhadap ekonomi, politik dan sosial negeri ini.

“Keutamaan rakyat adalah jelas. Kestabilan politik yang menjadi asas kepada kemajuan dan pembangunan Sabah.

“Negeri ini tidak lagi mampu terjebak dalam konflik politik yang tidak berkesudahan, yang hanya memburukkan lagi cabaran pemulihan ekonomi dan sosial.

“Kami yakin bahawa dengan tumpuan kepada kestabilan, Sabah mampu bangkit semula sebagai sebuah negeri yang makmur dan progresif.

“Sabah perlu mengambil iktibar daripada Sarawak, yang telah menunjukkan bagaimana kestabilan politik dapat mendorong pembangunan pesat,” katanya.

Beliau berkata dengan rekod pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia, Sarawak menjadi contoh nyata bahawa pemimpin yang bersatu padu mampu menarik keyakinan pelabur dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Sabah juga, katanya, kaya dengan sumber alam dan kepelbagaian budaya, memiliki potensi yang sama besar untuk cemerlang, namun kestabilan politik adalah kunci utama.

“Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, kami percaya bahawa Sabah memiliki peluang besar untuk menyertai arus pembangunan nasional yang inklusif dan progresif.

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah memiliki tanggungjawab besar untuk terus memacu kestabilan dan menerajui agenda pemulihan serta pembangunan negeri ini.

“Kami menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam memperkukuhkan ekonomi, memperkasakan pendidikan dan memastikan kebajikan rakyat Sabah terpelihara.

“Namun, usaha ini memerlukan sokongan padu dari semua pihak, termasuk para pemimpin politik yang perlu mengutamakan kepentingan negeri mengatasi agenda peribadi atau kelompok,” tegasnya.