Advertisement

Maritim Malaysia Tahan Warga Filipina Cuba Seludup Petrol Bernilai RM10,000 – Sabah News

KUDAT: Sejumlah 25 tong minyak petrol dianggarkan bernilai lebih RM10 ribu yang cuba diseludup keluar ke Filipina berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, satu operasi khas telah dilakukan di sekitar perairan Pulau Mandi Darah bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini khususnya di kawasan perairan Kudat.

Jelas beliau, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima, bot ronda Zon Maritim Kudat telah diatur gerak ke lokasi sekitar 1.6 batu nautika Timur Laut Telukan Paitan, Pitas bagi mengesan aktiviti terbabit.

“Setibanya di lokasi lebih kurang pukul 4.30 pagi, bot ronda yang ditugaskan telah berjaya mengesan satu pergerakan sebuah bot dalam keadaan bergelap.

“Semasa cuba dihampiri, dua individu yang mengendalikan bot terbabit bertindak terjun ke laut dan cuba untuk meloloskan diri di kawasan paya bakau berhampiran.

“Walau bagaimanapun seorang daripada suspek berjaya diberkas, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, bot berkenaan membawa muatan sejumlah 25 tong biru berisi minyak petrol dianggarkan 5,000 liter dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek yang ditahan merupakan warga Filipina berumur lingkungan 28 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Bot bersama suspek serta barang rampasan seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM25 ribu manakaa kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” Hasbullah berkata.