TAWAU: Dalam usaha memperkukuh keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan stesen minyak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Tawau menganjurkan satu sesi dialog bersama pengusaha-pengusaha stesen minyak di daerah ini, pada Khamis.
Program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, program yang diadakan ini perlu dalam meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan yang lebih proaktif kepada pengusaha setesen minyak.
“Pihak Polis ingin memastikan setiap pengusaha stesen minyak dapat memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam meningkatkan rondaan di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko tinggi dalam menjaga keselamatan terutama masyarakat yang datang di kawasan mereka,” ujarnya.
Menurutnya, Kerjasama PDRM dengan pengusaha stesen minyak melalui Go To Safety Point (GTSP) yang menjadikan stesen minyak sebagai hub untuk mendapatkan bantuan semasa kejadian jenayah sebagai suatu bentuk manifestasi kepolisan komuniti bersama-sama dengan mereka dalam membendung jenayah selari dengan tema ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’.
Tambahnya, dalam program berkenaan pihak polis juga turut mempromosikan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi dan QR code Aduan Masyarakat kepada semua Pengusaha stesen minyak bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan sebarang kegiatan berlakunya jenayah dengan segera kepada pihak Polis.
Selain itu, program ini turut menyediakan slot soal jawab, di mana pengusaha meluahkan kebimbangan mereka berhubung isu keselamatan serta beberapa cadangan termasuk pemasangan lebih banyak lampu jalan di kawasan stesen minyak terpencil serta dapat berkolaborasi langsung dengan pihak berkuasa tempatan.
Tegasnya, beliau juga memberi jaminan bahawa PDRM Tawau komited untuk mengurangkan kadar jenayah melalui pendekatan mesra komuniti.
Beliau menyatakan bahawa perjumpaan seperti ini akan diadakan secara berkala bagi memastikan hubungan antara pengusaha stesen minyak dan pihak polis sentiasa kukuh.
Hadir sama dalam program tersebut, DSP Lee Nyuk Kim, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, SI Mohammad Parlis Bin Jaramman, SI Koordinasi Sumber Sokongan serta pengurus dan wakil pengusaha stesen minyak daerah Tawau.