KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berundur hanya disebabkan tekanan oleh beberapa klip video fitnah yang sengaja disebarkan oleh pemberi maklumat (whistleblower) yang masih merahsiakan identitinya.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata, amat tidak logik dan tiada merit untuk pemimpin dari pihak pembangkang untuk menggesa Hajiji melepaskan jawatannya.
“Ini adalah permainan konspirasi politik yang amat jijik sekali.
“Tidak masuk akal mereka mendesak Hajiji membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya disebabkan oleh fitnah yang di reka oleh mereka sendiri.
“Cadangan dari pemimpin pembangkang adalah cadangan yang tidak masuk akal dan bersifat politik, yang mahu menggugat kestabilan politik dan perpaduan rakyat negeri ini”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penyebaran video fitnah melibatkan Wakil-wakil Rakyat hanya bermotifkan pembunuhan watak dan karakter yang mana amat cenderung bagi memberi tekanan kepada kepimpinan Hajiji.
“Sabah dan rakyat negeri ini masih memerlukan khidmat Hajiji sebagai Ketua Menteri yang berani memperjuangkan dan mempertahankan hak dan kepentingan negeri Sabah.
“Orang Sabah tidak akan berpecah belah hanya disebabkan tekanan konspirasi politik ini yang mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri, kerana rakyat tidak mahu seorang Ketua Menteri yang pengecut, hipokrit dan munafik.
“Rakyat Sabah jangan biarkan mereka memecahkan belahkan perpaduan kita. Perpaduan merupakan kekuatan terbesar kita,” katanya
Bahrin berkata, jika pendedahan video bersifat fitnah itu dijadikan ukuran untuk meletak jawatan, bagaimana pula dengan pemimpin lain yang dikaitkan dengan kes seumpamanya, yang sedang disiasat dan sedang menghadapi pertuduhan kes di mahkamah?
Menurutnya, ada antara mereka masih memegang jawatan sama ada diperingkat kerajaan mahu pun parti.
“Adakah mereka juga perlu melepaskan jawatan?
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dituduh bermacam-macam oleh pihak tertentu mengenai salah guna kuasa dan berkaitan.
“Malah media antarabangsa turut membuat kenyataan liar terhadap PMX berkenaan isu yang sama.
“Justeru, adakah PMX juga perlu meletakkan jawatan atas tuduhan tidak berkredibiliti seperti itu?”, soalnya.
Beliau memuji ketegasan Hajiji yang tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat jahat mengancam kerajaan dan menggugat kestabilan politik negeri ini.
Katanya, Hajiji telah menyelamatkan hampir satu juta ekar tanah dan sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya, kawasan tadahan air dan kawasan pemeliharaan apabila membatalkan permohonan kumpulan yang menyebarkan klip video itu.
Bahrin berkata, beliau dan kepimpinan serta seluruh ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah bahagian Likas berdiri teguh dan menyokong penuh kepimpinan Hajiji dan mahu beliau terus mengemudi negeri ini.