KOTA KINABALU: Tiada sebab untuk memanggil pilihan raya negeri lebih awal tetapi Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menurut Ketuanya, Datuk Jonnybone Kurum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid (PBS) itu berkata, sayap daripada kesemua 8 parti komponen bersatu untuk memastikan GRS terus mentadbir dan membangunkan Sabah.
“GRS adalah platform terbaik yang ada kerana kemelut politik dan ketidakstabilan kerajaan negeri telah menyebabkan rakyat Sabah rugi dan jauh dari pembangunan.
“Sebelum GRS ditubuhkan, kita tidak pernah mencapai kuasa penuh kita dan membiarkan kuasa luar menguasai Sabah.
“Kita mesti bersatu, mengetepikan perbezaan kerana ia hanya akan memusnahkan matlamat kita.
“Apa gunanya berada dalam gabungan jika kita tidak berkongsi perjuangan yang sama di hati,” katanya.
Beliau memberitahu perkara itu kepada lebih 2,000 perwakilan belia pada majlis pelancaran Pergerakan Belia GRS di SICC pada Ahad.
Sementara itu, beliau berharap veteran GRS membuka peluang kepada golongan muda untuk bertanding sambil berkata ramai yang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
Jonnybone meminta lebih ramai belia diberikan peluang untuk meningkatkan sosio-ekonomi terutamanya di peringkat daerah.
Pada masa ini juga, katanya, mereka berdepan cabaran politik ekstrim daripada pembangkang yang telah melancarkan kempen fitnah menggunakan media sosial.
“Mereka telah melakukan serangan peribadi yang melibatkan kehidupan sosial dan moral ahli GRS.
“Bagaimanapun, kita meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
“Sebagai ADUN Telupid, saya juga menjadi mangsa. Kepala surat kerajaan untuk perjumpaan membabitkan persatuan belia dipalsukan dengan mendakwa ia adalah untuk melobi projek hanya kerana nama abang saya ada di dalam situ.
“Tujuan perjumpaan itu adalah untuk mengumpulkan penduduk kampung khususnya golongan belia dalam membangunkan kawasan DUN. Ini menunjukkan bahawa walaupun berbuat baik boleh membawa anda masalah.
“GRS telah menjalankan tugas dengan baik dan dengan pelan pembangunan yang jelas (Sabah Maju Jaya), telah menarik banyak pelaburan langsung asing, meningkatkan hasil negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Kita sebagai sayap belia GRS seharusnya lebih bercakap tentang apa yang telah kerajaan lakukan dan keprihatinannya terhadap rakyat terutamanya melalui bajet terbesar negeri yang dibentangkan,” katanya.