KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberikan peluang untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Jelas beliau, peluang bertanding itu akan diberikan di beberapa kawasan yang sudah dipastikan calon muda GRS berpeluang untuk menang.
Bagaimanapun, Jeffrey belum menamakan kawasan-kawasan yang dimaksudkan.
“Kita bagi peluang untuk mereka, di mana mereka sudah bersedia, di mana kawasan pun sudah tersedia dan mereka mempunyai peluang untuk menang.
“Jadi kalau semua memenuhi syarat-syarat begitu, sudah tentu semua akan ditandingkan pada PRN nanti dan sudah pasti kita juga akan melihat kepada realiti, mungkin ada yang dipertandingkan, ada yang tidak dapat tanding, bergantung kepada apa yang saya katakan tadi,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemuda GRS, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media, sama ada GRS akan memberikan peluang kepada Pemudanya untuk bertanding pada PRN akan datang, memandangkan dalam ucapan beberapa wakil Ketua Pemuda parti dalam komponen itu meminta untuk diberikan laluan untuk bertanding pada PRN Sabah Ke-17.
Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti STAR berkata, beliau melihat semangat juang Pemuda GRS amat tinggi dan dilihat sudah lebih bersedia.
“Tentunya kita akan pastikan mereka lebih bersedia. Sebab pengundi 18 adalah kumpulan yang paling penting sebab mereka mereka merupakan kumpulan yang memberikan penambahan pengundi terbesar,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri meningatkan bahawa parti-parti tempatan perlu bersatu untuk memastikan negeri kekal efektif membangun.
“Jangan kita macam dulu, di mana kita dipecah dan perintah. Bila kita dipecah dan perintah, itulah yang berlaku, kita tidak dapat urus pembangunan bumi Sabah ini.
“Dan kali ini saya kita, pemahaman rakyat Sabah lebih tinggi daripada dahulu dan sudah tentu kesan dan hasilnya juga akan lebih baik daripada yang dulu,” jelasnya.