KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) Datuk Kalakau Untol berkata gesaan pemimpin UMNO Sabah agar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan adalah permainan politik yang tidak adil.
Beliau berkata gesaan itu tidak wajar kerana tiada pertuduhan atau kes mahkamah yang dihadapi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.
“Letak jawatan bukan penyelesaian kepada skandal yang didakwa,” kata Kalakau yang juga bekas ahli Parlimen Tuaran dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas dakwaan skandal rasuah di Sabah selepas beberapa rakaman video dibocorkan oleh seorang pemberi maklumat dan kemudian dilaporkan Malaysiakini.
“Saya rasa adalah tidak adil dan tidak wajar meminta Ketua Menteri meletakkan jawatan kerana beliau tidak didakwa dan tidak dipanggil ke mahkamah.
“Mereka hanya menyeru berdasarkan video yang saya fikir telah menjadi permainan mereka bertujuan untuk mencemarkan imej pemimpin kita,” tambahnya.
Kalakau yang juga seorang bekas Timbalan Menteri Persekutuan, memuji Hajiji kerana tidak tunduk kepada ancaman politik daripada mereka yang cuba memaksa perubahan dalam kerajaan yang memerintah melalui cara yang tidak demokratik.
Hajiji terdahulu telah menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Pemberi rasuah selalunya mempunyai motif tersembunyi, mereka mahukan sesuatu sebagai balasan daripada kerajaan. Apabila mereka tidak dapat, isu-isu ini timbul,” tegasnya.
Kalakau seterusnya berkata bahawa pihak berkuasa harus menyiasat bukan sahaja penerima sebarang dana haram tetapi juga pemberi, serta motivasi di sebalik dakwaan ini.
“Individu terkemuka yang terlibat dalam kes rasuah berprofil tinggi di peringkat persekutuan tidak meletakkan jawatan dalam kerajaan mereka.
“Kewaspadaan dan dedikasi Hajiji untuk melindungi kepentingan negeri telah menggagalkan skim berbahaya ini.
“Komitmen Ketua Menteri terhadap kebajikan rakyat Sabah wajar mendapat pengiktirafan dan sokongan.
“Sekiranya Ketua Menteri tunduk kepada tekanan politik, ia akan membawa impak besar kepada rakyat Sabah, terutama generasi muda.
“Apa yang Hajiji lakukan adalah mesej yang kuat kepada pesaing politiknya bahawa beliau tidak akan mengikut kehendak dan kemahuan mereka,” katanya.
Kalakau berkata beliau bukan ahli GRS tetapi bersuara kerana percaya itulah pandangan majoriti rakyat Sabah.
“Dalam keadaan seperti ini, kedaulatan undang-undang mesti diutamakan,” katanya lagi.