KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah sebulat suara bersetuju agar Borneo Games dianjurkan semula selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2013 di Wilayah Persekutuan Labuan.
Perkara itu disampaikan semasa menerima kunjungan hormat daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Terdahulu, MYSED yang diketuai oleh Timbalan Menteri YB Dato Gerald Rentap Jabu mencadangkan agar acara Borneo Games VI dihidupkan semula setelah 11 tahun tidak dianjurkan.
Turut dicadangkan, Borneo Games ke-6 ini dijangka akan dianjurkan pada tahun 2025 yang mana Sarawak menjadi tuan rumah sebagaimana yang diumumkan oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg pada Ogos lepas.
Abang membuat pengumuman semasa Majlis Makan Malam SUKMA XXI Sarawak 2024 di Borneo Convention Centre, Kuching pada bulan Ogos tahun ini.
Dalam ucapannya, juga dimaklumkan Sarawak akan menjadi penaja utama bagi kejohanan berprestij.
Dalam pada itu, KBSS menyatakan penganjuran Borneo Games adalah selari dengan aspirasi semangat Borneo untuk mengukuhkan hubungan lebih erat antara wilayah-wilayah di Borneo iaitu Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kalimantan Indonesia.
Selain itu, acara sukan ini juga penting sebagai satu kesinambungan dan pendedahan kepada atlet-atlet untuk beraksi lebih cemerlang di kejohanan-kejohanan yang besar lagi.
Borneo Games merupakan acara sukan tahunan yang melibatkan peserta dari wilayah dan negara di Kepulauan Borneo.
Acara sukan ini bermula pada tahun 1954 di Seria Recreation Club (SRC), Brunei Darussalam.
Kejohanan ini telah telah diberikan nafas baru pada tahun 2005 sehingga tahun 2013 dan diadakan secara dwitahunan yang seterusnya penganjuran terhenti sehingga sekarang.
Hadir sama dalam kunjungan itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Yang Berhormat Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap KBSS Datuk Mansur Asun, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Frederick.