Advertisement

Gesaan Hajiji Letak Jawatan Publisiti Politik Semata-Mata, Tidak Hormat PMX – Abdul Rahman – Sabah News

Abdul Rahman Md Yakub, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Gesaan untuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan adalah sekadar mengambil kesempatan publisiti politik semata-mata kata Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Abdul Rahman Md Yakub.

“Kepada mereka yang lantang dan nyaring menyuarakan kecaman sekarang ini, apakah anda sendiri benar-benar suci dan bersih dari segala hal yang dibangkitkan?

“Jika tidak, apa maknanya anda bersuara berkobar-kobar seperti seorang juara pejuang yang bersih dan berintegriti?” beliau bertanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah memberi jaminan bahawa siasatan yang telus dan adil akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa sebarang campur tangan.

“Sebarang bentuk tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan SPRM sebagai institusi rasmi yang bertanggung jawab dengan isu-isu yang dibangkitkan.

“Jadi kenapa mereka (beberapa pemimpin parti politik Sabah) masih riuh rendah dengan membuat tuntutan dan desakan bertubi-tubi?

“Bukankah itu menunjukkan mereka tiada hormat dan tiada keyakinan dengan kewibawaan Perdana Menteri?

“Ini sama seperti mempertikai dan menghina Perdana Menteri walaupun pada masa yang sama, mereka menjadi komponen dalam kerajaan perpaduan yang dipimpin olehnya.

“Siapakah mereka untuk mempertikai dan menghina Perdana Menteri Malaysia?” tambahnya.

Beliau turut menasihati para pemimpin parti politik komponen kerajaan perpaduan supaya membaca dan memahami Konsep Madani yang dijadikan teras dalam memacu pembangunan negara.

Katanya, hormat dan keyakinan adalah dua rukun yang dihurai dengan jelas dalam konsep tersebut.

“Keributan yang berlaku sekarang ini adalah gambaran kegagalan para pemimpin memaham dan menghayati konsep Madani,” katanya lagi.