KEPAYAN: Seorang wanita dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu Perodua Myvi dan Toyota Camry di jalan raya berdekatan Surau Istiqomah Kampung Ganang pagi tadi.
Mangsa, 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua mangsa, iaitu lelaki berusia 20 dan 28 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan seorang kanak-kanak 9 tahun selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.21 pagi.
“Lapor setibanya di lokasi kejadian benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Camry dan Perodua Myvi serta terdapat empat orang mangsa terlibat di lokasi.
“Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan seorang mangsa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
“Manakala, dua orang mangsa lagi mengalami cedera ringan dan seterusnya dibawa ke Hospital menaiki Ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Setelah selesai pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain wujud Bomba seterusnya menyerahkan tugas-tugas siasatan kepada pihak PDRM.
Operasi ditamatkan pada jam 7.05 pagi.