Advertisement

Jontih Pengkhianat Sebenar Sabah Dengan Cubaan Melobi 1 Juta Ekar Tanah Untuk Dilombongkan – G57 – Sabah News





Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporannya kepada SPRM bukan bertujuan mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin UMNO sebaliknya mencari keadilan dalam perkara itu…

KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Jontih Enggihon ialah pengkhianat besar Sabah kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

Zulkarnain berkata Jontih telah bersekongkol dengan ‘pemberi maklumat’ berhubung beberapa siri video dakwaan rasuah yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Gabungan Rakyat Sabah.

“Sebenarnya, Jontih yang telah membawa pengusaha individu terlibat daripada Semenanjung untuk cuba mengambil projek membabitkan hampir sejuta ekar tanah Sabah melalui SMM.

“Hanya satu individu memohon lebih daripada sepuluh lesen untuk mengawal semua aktiviti perlombongan di Sabah.

“Maklumat terkini ini sudah tentu membuat kita rasa kurang senang dan marah,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan SPRM di Putrajaya semalam.

Zulkarnain berkata dalang disebalik penyebaran video berkenaan sebelum ini telah cuba memberikan lebih kurang RM5 juta kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai sogokan untuk meluluskan lesen-lesen yang diminta.

“Tetapi dia tidak dilayan, malahan Ketua Menteri Sabah tidak pun pernah berjumpa dengan kumpulan penyebar video ni.

“Sebab itulah saya konsisten bagitahu bahawa sebenarnya Ketua Menteri ini mangsa keadaan.

“Ketua Menteri ingin menyelamatkan tanah negeri Sabah seluas sejuta ekar. Akhirnya beliau diserang, difitnah.

“Dalang sebenarnya adalah Jontih itu sendiri. Bagaimana beliau boleh bersubahat membantu satu orang untuk memohon sejuta ekar tanah bagi tujuan perlombongan di Sabah?

“Kumpulan ini juga sebelum ini telah menggunakan Ketua Keselamatan Pesara untuk melobi tetapi juga tidak dilayan.

“Itulah modus operandi mereka, cuba merasuah dan memfitnah apabila tidak dapat yang dimahukan,” tambahnya.

Zulkarnain mencabar Jontih untuk memfailkan saman terhadapnya dan bukannya kepada Ketua Menteri Sabah jika laporannya sebagai seorang aktivitis kepada SPRM berhubung kes adalah salah.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar…

Beliau turut menegaskan bahawa sehingga kini, tuduhan pengusaha semenanjung itu dalam membiayai perkahwinan anak Jontih masih belum terjawab.