RANAU: Tiga pekerja kontrak meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika bertugas di bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya, sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah mendedahkan identiti mangsa sebagai Wong, 54, Salleh, 34, dan Gimbal, 25 yang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi pekerja, Dani, berusia 20an, dilaporkan selamat.
Panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.46 pagi melalui talian MERS999.
Seorang jurucakap agensi berkata keempat mangsa lelaki tersebut sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan solar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ranau bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat untuk diserahkan kepada pihak polis.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada pukul 12.03 tengah hari,” katanya.