KOTA KINABALU: Setiausaha Penganjur STAR, Terence Sinti, menyangkal kenyataan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang menganggap Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan sebagai seorang yang tidak konsisten dan hanya lantang bersuara setiap kali pilihanraya negeri semakin hampir.
Ketua Bahagian STAR Kiulu itu berkata Dr Jeffrey amat konsisten dalam perjuangannya, sehingga pernah dianggap gila kuasa dan dipenjara hanya kerana bersuara untuk menuntut hak dan autonomi Sabah.
“Ini bukanlah disebabkan kita akan menghadapi pilihanraya atau tidak. Beliau telah berulangkali menegaskan dan menjelaskan bahawa Kerajaan Sabah perlu ditadbir dan diperintah oleh parti-parti tempatan, dan Kerajaan Sabah kemudiannya akan bekerjasama dengan siapapun pihak yang menguasai Kerajaan Pusat.
“Seperti yang disuarakan oleh Dr Jeffrey, kita mahu agar Sabah ini mempunyai kuasa dan autonomi politik untuk membuat keputusan tanpa merujuk kepada Malaya.
“Kita tidak mahu sikit-sikit rujuk Malaya, seolah-olah kita tidak mampu mengurus Sabah dan terpaksa bergantung kepada parti dari Malaya.
“Kita dapat lihat bagaimana kesan pendirian parti-parti tempatan Sarawak yang telah menolak parti-parti Semenanjung, akhirnya mentadbir sendiri sehingga membawa lonjakan kemajuan dan ekonomi yang amat memberangsangkan dan menguntungkan Sarawak,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata perjuangan Dr Jeffrey yang konsisten ialah tuntutan 40 peratus hak kewangan Sabah, yang mana tercatat dalam Hansad Dewan Undangan Negeri Sabah bertarikh 19 Jun 2013 ketika beliau masih sebagai pembangkang.
“Begitu juga dengan tuntutan-tuntutan berkaitan MA63 yang sudah berdekad-dekad lamanya, dan hak 35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Semua tuntutan berkisar kepada autonomi dan hak-hak Sabah adalah kenyataan berasas untuk Sabah dan juga Sarawak, wajib diperjuangkan sehingga dimiliki dan menjadi kenyataan sepenuhnya.
“Kini atas perjuangan dan pendedahan oleh Dr Jeffrey, dengan pertumbuhan kesedaran di kalangan para pemimpin Sabah dan Sarawak, parti-parti tempatan semakin lantang dan berani menuntut,” kata Terrence.
Beliau berkata dalam ucapan beliau semasa pelancaran Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini, Dr. Jeffrey menekankan dan menegaskan kepentingan Sabah dengan slogan “Rumah kita, kita jaga”.
“Konsep itu akan dengan sendirinya mengkategorikan kedudukan seseorang atau pemimpin berdasarkan kepada pendirian dan kecenderungan mereka.
“Usul Fuziah mencabar Dr Jeffrey keluar daripada kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas kerana peringkat Kerajaan Negeri berpendirian tegas iaitu akan kekal bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.