Advertisement

Polis Gagalkan Cubaan Warga Emas Bawa Lapan PATI Termasuk Dua Kanak-Kanak Di Kalabakan – Sabah News

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan cubaan membawa lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak tanpa melalui sekatan jalan raya di Road Check Point (RCP), Pos Kalabakan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi yang dilaksanakan oleh pegawai dan anggota pasukan dari Kompeni C, Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau kira-kira jam 11.15 pagi itu, telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas ‘Snap check’ di Jalan Batu 2, Kampung Murut, Kalabakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut warga tempatan berusia 70-an, namun lapan penumpang berusia 2 tahun hingga 50 tahun di dalam kenderaan jenis pacuan empat roda itu, gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah disyaki PATI.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kesemua penumpang dari arah daerah Sipitang dikenakan bayaran sebanyak RM150 untuk seorang penumpang dewasa bagi tujuan destinasi ke daerah Tawau.

Ujarnya, kesemua individu berkenaan ditahan serta kenderaan yang digunakan juga turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, kes ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan manusia dan pendatang tanpa izin di negara ini. Tangkapan ini menunjukkan komitmen pihak polis terutamanya Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, terutama di kawasan sempadan yang sering menjadi laluan utama penyeludupan PATI.

Polis juga mengingatkan orang ramai untuk terus memberi kerjasama dalam memerangi jenayah penyeludupan manusia dan pendatang tanpa izin, serta melaporkan sebarang maklumat yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.