KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut di atas sebuah Perodua Axia di Jalan Coastal dekat Sutera Avenue, sini, awal Ahad.
Mangsa kejadian 2.38 pagi itu dikenali sebagai Mohd Mujibur Rahman Mangkasar, 34.
Ketua Polis Bandaraya, ACP Kasim Muda berkata, pemandu kereta terbabit seorang lelaki berusia 30-an datang daei arah Centre Point menghala ke Tanjung Aru.
“Si mati tiba-tiba melintas dari sebelah kiri jalan mengakibatkan kemalangan. Paramedik mengisytiharkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati kecuaian pada pejalan kaki memandangkan jejantas terletak tidak jauh dari lokasi kejadian tetapi tidak digunakannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kasim menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan pejalan kaki khususnya agar menggunakan laluan betul yang disediakan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Terdahulu, petugas Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu memindahkan mayat lelaki itu dari atas kereta yang kemudian terbabas di tepi jalan berikutan rempuhan.