Advertisement

15 Keluarga Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Aru Terima Sumbangan Wanita GRS – Sabah News

Azizah bergambar kenangan bersama keluarga mangsa kebakaran.

KOTA KINABALU: Seramai 15 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru menerima sumbangan daripada Wanita Gabungan Rakyat Sabah di Balai Raya Kampung Tanjong Aru Baru di sini hari ini.

Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah memusnahkan tujuh buah rumah dan menjejaskan 15 keluarga.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun. Sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan.

Azizah berkata biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan diharap dapat memberi semangat baharu kepada mangsa.

Beliau menyeru masyarakat dan organisasi lain untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa kebakaran ini, agar mereka dapat kembali membina kehidupan mereka dengan lebih baik.

“Mari kita bersama-sama mengambil berat dan prihatin pada keluarga kita, jiran kita, saudara kita tidak kira jauh dekat, kenalan kita dalam komuniti dan semuanya.

“Amalan bantu-membantu bagi meringankan beban mereka yang dilanda kepayahan dan musibah, adalah amat besar ganjaran pahala dari Tuhan dan kita sekaligus dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Balai Raya Kampung Tanjong Aru Baru kelmarin.

Turut hadir, Datuk Awang Ahmad Shah Datuk Awang Shaari, Wakil rakyat N.23 Petagas (Ketua Bahagian PGRS N. 23 Tanjung Aru), Noraiza DSP Hj. Mohd Noor Mansor (Ketua Wanita SAPP), Datuk Surinam Sadikun (Ketua Zon 3, Penolong Bendahari), Salmah Sait (Setiausaha Wanita GRS Sabah), Datin Mary Wong (Bendahari Wanita GRS Sabah).